ISLAMIK
Harga Sebuah Kejujuran
Terasa ingin mencoretkan
sesuatu setelah lama tag “kehidupan
ini kosong dengan entri”. Perkara yang lama sudah saya ingin luahkan. Terasa
berat namun saya sulam ia dengan teguran keikhlasan. Moga menjadi cerita yang
tidak lagi terbuku dihati sebaliknya dikongsikan melalui entri ini.
Kehidupan kita sekali
sekali diuji. Ada kala kita merasa malas untuk berbuat apa-apa, lalu kita
biarkan sahaja. Selesai masalah? Jawapan tidak. Ia hanya tergantung, tidak
bertali. Oleh itu pentingnya kejujuran pada diri kita dan orang lain. Kerana ia
sangat berkait rapat dengan nilai ketelusan dan janji. Berusahalah untuk
tunaikan.
Cerita Satu:
“Hafifi, nak hujan ni. Tak
payah datanglah ya?” Pesanan ringkas masuk menerjah di telefon.
“Itu lah macam nak hujan.
Dah ada di tempat tu ke?” saya jawab soalan dengan soalan.
“Ya dah ada tapi kau tak
payah datanglah, hujan. Lagi pun ada kawan-kawan lain lagi ni”.
“oh, ok”.
Jawab saya. Ringkas.
Memang
hujan mulai turun dan sangat lebat. Saya menjenguk di luar melihat samada
kereta masih ada atau tidak. Malangnya tiada, kerana digunakan oleh ayah.
Lantas saya mengambil baju hujan dan pergi juga menaiki motosikal.
“Eh, kau
ada. Kan aku dah kata hujan tak payah datang pun tak apa”. Sambil tangannya
bersalaman dengan saya.
“Kau
tahu aku kan, apabila janji aku tunaikan”. Saya menjawab dengan senyuman.
“Aku
tahu”
“Tahu
tak apa”.
Cerita dua:
“Tak kan
tak hantar mesej lagi?. Kata nak mesej dulu”. Resah saya menunggu mesej
daripada seorang kawan. Lalu menghantar mesej padanya.
“Kau
sekarang dimana? Jadi tak jumpa”. Lama saya menunggu masih belum terjawab.
Fikiran melayang.
“Mungkin
bateri habis agaknya”.
Saya terus
pergi ke tempat yang dijanjikan. Setelah sampai, saya menoleh ke kanan dan
kiri. Masih belum nampak kelibatnya. Saya memesan minuman untuk menjadi teman
saya menunggunya. Saya hirup pantas kerana cuaca agak panas.
Tiba-tiba
sampai pesanan ringkas.
“Maaflah,
ya. Aku ada kerja sikit dengan ummi mungkin tak dapat datang. Maaf lambat reply. Kau ada di mana?”
“Aku
masih dirumah, tak apa selesaikan kerja kau tu. Kita boleh jumpa lain kali”. Walaupun
hati saya meluap rasa tidak puas hati. Tetapi saya diamkan. Maafkan, walaupun
itu antara perkara yang paling tidak saya sukai.
Berjanji
tapi tidak ditepati. Sukar benar nampaknya untuk meletakkan nilai apa setiap
persetujuan. Janji itu ibarat berhutang, kita mesti jelaskan. Berhutang, ia
berkaitan dengan nilai wang sebaliknya janji berkaitan dengan nilai diri. Berusahalah
untuk memenuhinya.
“Dan
penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti dituntut pertanggungjawabannya“ (
Al -Isra 34 ).
Jika
tidak mampu berjanji, maka jangan. ia bukan sekadar janji, tapi lebih kepada
kejujuran diri.
Fokus, Kemana Engkau Menghilang
Fikirannya berkecamuk.
Pelbagai rasa dan rencah yang tujuan namun tanpa arah. Fikirannya masih mencari
dahan tempat berpegang. Peluh makin basah walau suasana dingin. Monolog entah
kemana.
“Aha, kereta aku tadi.
Sport Rims baru tukar. Agak cantik tapi rasa macam mahal pula.”
“Mahal ke? Biasalah kalau
cantik dan elok mestilah mahal.”
“Tapi duit tadi patutnya
kena simpan daripada beli Sport Rims yang mahal macam tu. Lepas ni aku kena
berjimat.”
Monolog diri Razif masih
lagi berkecamuk teringatkan aksesori baru keretanya. Badannya kaku, tegak
berdiri bagai pokok.
“Alamak, kereta. Ini dah
masuk akhir tahun terpaksa bayar insurans kereta lagi. Habis pula beribu
ringgit duit aku”
“Duit pula banyak nak
guna, sewa rumah belum lagi bayar tambah pula dengan elektrik. Tarif pula
dengarnya akan naik”
“Rumah patut aku beli dari
awal lagi, tak lah kena bayar sewa bulanan. Kalau beli rumah, cukup beberapa
tahun dapat pada aku”.
“Kelengkapan hidup sekarang
makin mendesak, ragam hidup bermandikan air duit yang sentiasa mengalir”.
“Aah, susah betul lah”
Fikirannya terus menguasai
akibat lambakan masalah yang timbul. Ligat fikirannya mencari jawapan terhadap
pelbagai masalah. Makin difikir makin berserabut. Jelas, cara fikir berkadar
malar dengan ketahanan emosi. Tangan diangkat kearah kepala tanpa disedari.
“Duit bukan senang nak
dapat sekarang, kerja teruk.”
“Kalau tak kena marah
dengan bos kerana prestasi kerja yang tak bagus memang tak sah. Selalu kena paksa,
kadang-kadang sakit kepala dibuatnya”.
“Sepatut bos mendengar
keluhan pekerjanya ini tidak, kalau prestasi ok pujinya melambung bila menurun
mula marah-marah”.
“Lebih baik kerja macam
Asif, dialah bos, dia pekerja. Tak susah kena marah-marah prestasi menurun.
Duit pun banyak maklumlah meniaga”
“Haa, dapat satu idea.
Kalau meniaga pun baik. Aku dah la belajar teruk sepatutnya aku dapat kerja
bagus. Barulah layak dengan kelayakkan luar negara yang aku dapat”.
Daripada kedudukan Razif
yang berdiri dia mula membengkokkan diri. Duduk. Ideanya mula bercambah.
Memikirkan perniagaan apa yang sesuai untuknya. Makin ligat fikirannya mencari
apakah barangan yang sesuai untuk diniagakan.
“Em, Kalau buka kedai pun
bagus ni. Makanan demand tinggi, manusia mesti cari makan untuk hidup. Ya,
makanan apa ya?”
“Kalau lihat sekarang
banyak restoran dah buka dengan hidangan barat kawasan ni. Bagaimana dengan
restoran ala makanan arab. Mesti laris punyalah”.
“Tunggu, mana nak dapat
tukang masak ini? Kalau nk guna pekerja asing dari timur tengah mesti ada
agensi yang urus”.
Razif sudah menetapkan
fokusnya. Dia bangun semula dan tak lama kemudian duduk semuala. Sambil mulut
kemut kemit membaca sesuatu. Membetulkan arah tujuan. Pada hematnya ideanya ini
bernas dan berguna. Membolehkan dia menyelesaikan berbagai masalah yang
melanda. Masa, kewangan, kerjaya dan berbagai lagi dalam kesulitan hidup.
Dalam tak sedar, ada orang
memberi salam kepadanya dua kali. “Assalamualaikum Warahmatullah”.
“Assamualaikum Warahmatullah”.
Fikirannya mula hilang
fokus.
“Solat dah habis?
Kejapnya”.
“Ya, aku dah dapat idea.
Inilah dinamakan berkat solat. Idea datang mencurah”. Hatinya membenarkan
ideanya yang hebat itu.
Wirid, pujian dan doa
sudah selesai. Badanya penat bukan kepalang. Kerja daripada pagi hingga waktu
maghrib memenatkan. Tiba masa untuk
berangkat pula. Sesampai dirumah dan usai solat isyak. Matanya mula berat. Mata
pejam, fikiran mula kosong.
Esoknya mula kerja
kembali. Itu rutinnya. Idea Razif yang hebat mula hilang. Hanya dibawa arus
kerja yang tak sudah. Kepenatan. Pulang ke rumah dan lelap.
Khayalan Yang Berjangkit
Mungkin perkara ini tidak
hanya berlaku pada Razif seorang tapi saya percaya ramai daripada kita.
Kegagalan mengawal fokus fikiran ketika solat menjadi masalah paling dominan
ummah.
Sudah menjadi suatu
kebiasaan apabila disebut khayalan. Semuanya berkait dengan pelbagai masalah
hidup. Ironinya secara automatik segalanya berpusing ligat tanpa perlu diarah.
Mungkin diluar solat kita sendiri tidak fikir perkara-perkara yang biasa kita
fikir di dalam solat.
Kegagalan ini membawa
kerugian terutamanya setiap jiwa mendambakan Allah itu tempat diletakkan segala
puji yang hanya untuknya. Kata kebanyakkan ulama tasawwuf, apabila dunia yang
digunakan masih lagi tidak kita tinggalkan dalam usaha mencari akhirat maka ia
akan menjauh pergi.
Ia seperti hanya mengejar
bayang-bayang. Di dalam solat dunia ini belum lagi kita tinggalkan sepenuhnya.
Mainannya, gerak lakunya, perhiasannya, keseronokkannya, kepuasannya masih lagi berada di dalam lubuk
hati kita. Bagaimana mungkin roh solat yang kita kerjakan akan masuk dan
melekat di hati.
Anologinya mudah
Air di dalam botol tidak
akan penuh untuk kita isi dengan air yang lain sekiranya di dalamnya penuh
dengan batu kerikil. Jelas tertumpah kembali. Apatah lagi bersamanya ada
keladak. Usahkan hendak di minum, dilihat pun tak sudi.
Mengenalpasti puncanya
adalah perkara yang menjadi kemestian bagi sesiapa yang menjadikan
akhirat sebagai tujuannya, Allah menjadikan kekayaan di dalam hatinya,
menghimpunkan baginya segala urusannya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan
tunduk.
Sesiapa yang menjadikan
dunia sebagai tujuannya, Allah menjadikan kefakiran dekat kepada kedua-dua
matanya, memisah-misahkan urusannya dan dunia tidak akan mendatanginya
melainkan apa yang telah ditentukan baginya. [Sahih: Dikeluarkan oleh
al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi,
hadis no: 2465 (Kitab Sifat al-Qiyamat…, Bab ke 29)]
Mencipta Kenangan Bersama Kepayahan
Kepayahan mengundang
kesengsaraan. Kepayahan menambah derita. Terbit daripadanya keluh dan kesah,
terhindar daripada kedatangan bahagia serta gembira. Masa terasa begitu lama
dalam meniti coreng calar kepayahan. Menghitung setiap titisan air mata,
mengira setiap peluh keringat.Begitu sangkaan kebanyakkan daripada kita.
Apa yang penting bukan apa
yang menimpa kita, sebaliknya apakah tanggapan kita pada terhadap apa yang
berlaku. Sesuatu yang berstatus di luar jangkaan sudah pasti akan menjengah
kita. Dalam apa jua keadaan. Samada bersedia atau tidak, ia pasti berlaku.
Perhatikan begitu banyak kejadian yang menimpa hidup kita. Adakah kita jangka
ia berlaku? Ya sesetengahnya mungkin, manakala yang lain mungkin tidak.
Apakah Ketentuan atau Kebetulan
Apakah kita mengira
segalanya yang berlaku itu satu kebetulan? Adakah ia hanya sandiwara yang datang
untuk menguji?. Mungkinkah? Begitu banyak pertanyaan sebenarnya menggambarkan
diri yang tidak tahu punca masalah dan cara mengatasinya.
Kurangnya ilmu menyumbang
masuknya banyak kecelaruan dalam pemikiran. Bila dada tidak dipenuhi dengan
ilmu maka secara automatik kebatilan akan mengisi ruang kosong. Itu fitrah.
Mujahadah dalam mencari ilmu dan memanfaatkannya sangat penting. Ini kerana
ramai orang yang tinggi ilmunya tapi amalannya tidak selari. Wujud kepincangan
seterusnya membawa kemusnahan.
Ingat, bahawa kemusnahan
daripada ilmu yang pincang adalah lebih bahaya daripada kejahilan yang teguh.
Nasib Baik dan Kebetulan
Sebenarnya perkataan
kebetulan memberikan aura negatif ditambah pula apabila kebetulan itu menjurus
kearah perkara yang buruk. Kebetulan dan nasib baik sesuatu yang mempunyai
kaitan rapat. Kedua-dua perkataan ini dilihat seakan terpesong daripada prinsip
ketuhanan.
Selalunya apabila kita
ditimba musibah, kita selalu berkata:
“Nasib baik luka sikit je.
Kalau banyak habis la aku”
“Nasib baik patah jari je,
kalau patah tangan lagi sakit”
“Nasib baik patah tangan
tak patah kaki, payah aku nak jalan nanti”
“Nasib baik dia koma, ada
lagi peluang hidup”
“Nasib baik dia mati,
kalau hidup susahkan orang lain”.
Segalanya Ketentuan Ilahi Atas Pilihan Manusia
Lihat, begitu negatif ayat
diatas. Nasib baik dan kebetulan yang didasari atas teoritikal dan bukannya
teologikal. Sudah sampai masanya kita berubah. Melihat segalanya datang
daripada Allah S.W.T. Ia datang sebagai satu pengajaran, renungan, imtihan,
pengkhabaran kepada kita. Apabila kita merasakan ia datang daripada Allah maka
semua adalah baik buat kita.
Kita tidak akan
sekali-kali secara 100% menyalahkan orang sekeliling apabila ditimpa pelbagai
musibah. Mungkin ya, pada kita ia nampak seperti menyusahkan. Namun, apabila
kita memandang ia darisudut teologikal bahawa Allah yang berhak atas segala
sesuatu. Maka akan terzahir padanya seribu kebaikan. Ia surat jemputan
kebaikan.
Seperti juga kata pakar
motivasi, yang mana kita tidak mampu mengekang serta mengawal secara total apa
yang berlaku dalam hidup kita. tetapi kita mampu memberi respon penuh terhadap
apa yang berlaku. Dengan itu, maka untuk mencipta kenangan dengan kepayahan
bermula dengan apa pandangan diri dan pemikiran terhadap apa yang berlaku.
Mari mencipta kenangan
1. Kawal fikiran kita
Rasakan bahawa itu tarbiah
daripada Allah buat kita. Jangan kerap salahkan orang sekeliling atas
keburukkan yang kita tidak ingin dalam hidup. Terima, dan mulakan langkah
dengan mengawal fikiran. Fikirkan perkara kebaikan dan singkirkan secara
perlahan unsur negatif. Fikirkan jalan alternatif terbaik.
“Habislah aku, kalau macam
ni nampaknya aku akan gagal” – Elakkan.
“Alhamdulillah, kalau tak
boleh aku akan cuba cara ini pula” – Cari penyelesaian.
Saya teringat cerita yang
diceritakan oleh seorang murabbi tentang serang ulama yang dipenjara. Ulama ini
dipenjara kerana menentang pemerintahan kerajaan. Dia dipenjara dalam penjara
yang sangat sempit hinggakan sukar untuk berdiri. Air titis air yang sangat
menyakitkan telinga di sekitar penjara. Namun, dia mengubah pemikirannya
apabila setiap kali air itu menitis. Ulama itu menyebut nama Allah setiap kali
titisan air jatuh.
Lihat, bagaimana orang
yang hebat menukar situasi buruk kepada baik. Kita juga mampu. Kerana Allah
tidak akan menguji kita dengan perkara yang kita tidak mampu menanggungnya.
2. Sabar dan Solat
Jika kita berhadapan
dengan kepayahan. Selain dituntut untuk mencari jalan penyelesaian. Perkara terbaik
yang disuruh Allah ialah solat dan sabar. Rupanya hanya dengan bersabar maka
akan lunturlah semangat dalam menghadapi kepayahan. Oleh itu, Allah menyuruh
hambanya melakukan sabar yang proaktif iaitu menghubungkannya dengan solat.
Hanya dengan itu, kita
akan dapat pertolongan daripada Allah dalam menghadapi apa jua rintangan. Percayalah,
selagi tali penghubung antara hamba dengan pencipta tidak putus (solat)
pertolongan itu tidak akan pernah putus dan berhenti.
Allah menjelaskan menerusi
ayat 152 Surah Al-Baqarah, “ Wahai sekalian orang yang beriman, mintalah
pertolongan dengan bersabar dan dengan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang
yang sabar”.
Apabila semuanya kita
harungi dan dimasa kita mengimbas kembali segala pahit derita, kelelahan,
kepenatan, kesusahan yang ditanggung selama ini. Kita akan dapati ia adalah
kenangan. Kenangan yang membentuk kita sehingga kita perolehi apa yang kita ada
sekarang. Kalaupun tidak sempat kita mengimbas kenangan itu di dunia. Ia akan
menjadi saksi bagaimana kita berdiri diatas dunia ini menjunjung amanah Allah
kepada kita sebagai khalifah di bumi.
Allah menjelaskan dalam
ayat 155 surah Al-Baqarah, “Sesungguhnya,
kami akan menguji kamu dengan ketakutan, kelaparan, dan kekurangan harta benda,
jiwa serta hasil tanaman. Berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar”.
Sabarlah kerana perjalanan
hidup ini masih jauh. Perjalanan kita bukan sahaja terhenti di sini. Bukan sahaja di dunia ini. Hidup ibarat
selembar buku yang tebal. Jika kita tidak sabar dalam membacanya dan mengambil
keputusan untuk membawanya pada pengakhiran. Maka kita akan terlepas babak-babak
yang penting. Jalaninya satu persatu. Susah, tapi kita mesti teruskan.
Dakwah Bukan Sekadar Jenama
Artikel kali ini menyentuh
soal dakwah dan pendekatan jemaah yang selalu bermain di fikiran saya. Menulis
artikel ini yang menyentuh pelbagai sensitiviti yang memungkin ada yang akan
terasa dan mencemuh. Namun, ia ditulis bagi menimbulkan kesedaran agar kita
menyedari beberapa perkara yang kita terlepas pandang. Oleh itu, apapun yang
dihidangkan kepada kita dalam bentuk penulisan, percakapan dan pelbagai medium
lain adalah untuk kita cerna dengan baik dan memberikan penilain tanpa perlu
mengikatnya dengan emosi. Nilai dan berfikir tentang penulisan orang marhaen
seperti saya.
Apa itu dakwah?
Dakwah, bukan lagi satu
perkara asing bagi mereka-mereka yang telah lama berkecimpung dengannya. Mereka
hidup dengannya, kerana ia sunnah Rasulullah s.a.w iaitu menyampaikan islam
kepada seluruh alam. Menyeru kearah yang ma’aruf dan mencegah kepada
kemungkaran. Perjuangan ini, diteruskan oleh umat Rasullullah s.a.w yang
menyedari peri pentingnya dakwah dalam kehidupan umat islam hingga akhir zaman.
Usaha mengajak manusia ke
arah kebaikan tidak akan selesai kerana Iblis telah berjanji kepada Allah akan
menghasut anak-anak adam hingga mereka juga turut sesat dan mengikut jejak
langkah menghuni neraka (Nauzubillahi Min Zaalik). Sunnatullah, kebaikan selalu
akan diiringi dengan kejahatan. Ia laman mujahadah dan menjadi mahar syurga
buat muslim yang mukmin.
Di Malaysia, Wujud
beberapa gerekan yang terkenal dan menjadi medium terhadap dakwah itu sendiri.
Alat kepada pergerakan dakwah yang terdiri daripada badan bukan kerajaan
mahupun badan-badan kerajaan. ISMA, PEMBINA, IKRAM, ABIM, PAS, ILMU dan
pelbagai lagi nama dan jenama adalah entiti yang mana mendukung usaha ini.
Rangkaiannya menjangkau hingga ke luar negara. Saya secara peribadi memuji usaha
mujahadah sebegini.
Tujuan
Pembentukan jemaah yang
tersusun dan sistematik antara beberapa gerakan ini secara umumnya menjalankan
konsep pengislahan dan penyatuan ahli-ahli melalui pelbagai metadologi. Melalui
beberapa manhaj yang mendasari peraturan dan laluan liku perjalanan
gerakan-gerakan ini. Ada yang asalnya daripada timur tengah dengan didasari
penubuhannya oleh mereka-mereka yang terkenal. Ada juga yang bersifat lokal dan
ada juga berbentuk partisan. Pelbagai pembawaan, ada yang agak lunak. Ada juga
yang agak syadid (keras). Pelbagai bentuk dan rupa.
Saya tidak mahu mengulas
panjang tentang sejarah dan tujuan yang memerlukan huraian yang panjang lebar.
Kerana ini bukan tujuan artikel ini ditulis. Sebalik ingin memberikan beberapa
teguran dan nasihat agar biarpun saya tidak dapat melihat penyatuan darisatu
sudut. Tapi saya lebih mengharapkan agar ia dapat memberi sedikit kesedaran
khususnya pada ahli-ahli.
Titik Mula
Gerakkan dakwah, dimana
saja mempunyai sistem dan mereka-mereka yang menggerakkan sistem tersebut. Memulakannya
dengan menjadikan seorang individu muslim itu dengan beberapa modul yang mana
berkepayaan membentuk peribadi muslim yang dikehendaki. Lalu, perjalanan
diteruskan dengan kerangka beberapa istilah yang biasa digunakan, sebut saja
usrah, bulatan gembira, ohsem, happy circle dab beberapa istilah lain.
Tingkatan-tingkatan lain seperti daurah, ijtima’, rehlah dan pelbagai lagi.
Semua ini adalah tingkatan atau marhalah-marhalah yang disusun bagi memenuhi
tujuan tertentu dalam sesebuah organisasi.
Perpecahan Yang Tersengaja
Jemaah bagi saya adalah
alat untuk mencapai tujuan akhir. Ia mesti digunakan dengan baik. Salah
menggunakan alat akan menyebabkan kita tersasar dari tujuan. Berlakunya
perpecahan dek kerana mempertahan ideologi. Oleh kerana banyak pendukung dakwah
melalui beberapa organisasi. Kelihatan seperti berlaku pertembungan ideologi
antara mereka.
Pelbagai persoalan yang
turut mencengkam dada khususnya mereka dalam beberapa kondisi tertentu.
Perbalahan antara jemaah nampaknya kian ketara kerana pelbagai sebab. Mereka
seolah merasakan diri mereka betul dan orang lain salah. Lapisan orang bawahan
hinggalah kepada golongan atasan yang sibuk menghalakan hujah masing-masing.
Jemaah aku yang terbaik mereka hanya picisan sahaja. Bermacam-macam andaian dan
tohmahan.
Sikap tidak berlapang dada
dalam menerima kelebihan dan kekurangan jemaah lain sering menjadikan mereka
bertelagah khususnya ahli-ahli bawahan. Ada di antara ahli-ahli yang
berpendekatan yang agak keras (syadid), keras tapi dalam kelembutan pun tidak
kurang hebatnya dan ada yang menggunakan
pendekatan sangat berlembut.
Kalau nak berdakwah kenapa hendak pulaukan Mad’u?
Pendekatan yagn berbeza
seperti yang saya sebutkan diatas menyebabkan berlakukan perbalahan yang pada
asalnya tujuan seseorang naqib itu ialah mengajak kearah kefahaman islam. Ia telah
bertukar secara tidak sedar dengan sebenarnya mengajak mad’u kearah jemaah yang
menjadi alat kepada tujuan.
Tahap 1 : Yang
pendekatannya biasa-biasa. Mereka ini mengajak mad’u dengan menunjukkan sikap
yang baik. Agak neutral dan tidak terlalu konservatif. Biasanya mereka
memperlihatkan akhlak yang baik. Memgunakan pendekatan makan-makan sehinggalah
iftar, jaulah dan sebagainya. Pendekatan ansur maju yang lama-kelamaan menarik
minat mad’u untuk membentuk peribadi muslim yang baik.
Tahap 2 : Ada juga yang
terus ajak ke program-program anjuran jemaah. Didedahkan dengan pelbagai
kemaslahatan ummah. Sehingga pada tahap merayu-rayu hingga menangis pun tidak
kurang juga untuk bersama mereka dalam usaha dakwah ini.
Tahap 3 : Pelbagai
pendekatan dalam menarik adik-adik. Hinggakan tahap ada yang terlalu syadid
sehinggakan memulau mad’u yang pada awalnya ingin bersama mereka tapi keluar
kemudian di pulaukan oleh pihak-pihak yang mengajak pada mula.
Tahap 4 : Ada juga yang sanggup memburukkan jemaah
lain demi kepentingan jemaah itu sendiri.
Kepelbagaian ini adalah
mengikut cara dan perspektif seseorang yang berada dalam entiti jemaah itu
sendiri. Apapun pendekatannya saya tidak mahu menyatakan melalui tulisan ini
dengan pertimbangan emosi. Pengalaman saya mengikuti program-program tarbiah
daripada pelbagai jemaah ini sejak dari sekolah menengah lagi mendorong tulisan
ini.
Mari Jernihkan Diri daripada Berkeladak
Betulkan niat : Dalam apa jua perbuatan kita, niat adalah komponen utama dalam mendokongi
amalan seharian. Tanyakan pada diri apa niat dan tujuan kita berdakwah dan
berkampung dalam satu-satu jemaah. Tidak kira jemaah mana sekalipun, tolong
betulkan niat. Jika kita menggunakan tahap 4 sepertimana diatas, yakinlah
bahawa niat anda sudah terpesong. Analoginya mudah, anda sibuk mencuci alat
dengan mengkotorkan alat yang lain. Jika tahap 3 anda gunakan maka, anda bukan
bukan Daei yang baik. Hanya pentingkan diri, kurang sabar dan tidak
menghormati pilihan mad’u.
Luaskan Skop Pemikiran: Jangan hanya menganggap jemmah anda yang terbaik
dengan menggunakan tahap 4. Itu kesilapan terbesar dan tanda ketidak yakinan
anda pada jemaah itu sendiri. Hanya mendabik dada. Pernah juga saya berjumpa
dengan orang yang telah lama dalam arena dakwah ini. Katanya “Anta ikutlah
jemaah mana yang anta suka, pastikan anda menjadi muslim yang baik bila
bersamanya”. Melihat ketebukaannya, wajahnya sungguh memikat. Percayalah yang
anda perlukan ruang keterbukaan yang tinggi yang mereka yang lain memasuki
ruang itu. Jika anda sempitkan, tiada yang akan kekal di dalam dakwah mainan
anda.
Menggunakan Pelbagai Pendekatan : Ia menandakan anda kreatif, kelembutan dan dasar
kesepunyaan tanggungjawab terhadap dakwah itu sendiri akan berkembangbiak. Bersatu
dalam memahami kepelbagaian pendekatan dakwah jemaah lain adalah sangat
penting. Terima kelemahan dan kekurangan jemaah lain dan hentikan daripada
menuding jari kepada sesuatu yang kita belum selidiki secara konprehensif dan
telus. Sama-sama membangunkan dakwah dan memartabatkannya di tempat yang
sepatutnya ia berada.
Akhirnya, ingatlah dakwah
ini bukan sekadar jenama. Ia adalah satu produk yang sama menggunakan jenama
yang berbeza untuk memenuhi keperluan pengguna yang juga berbeza. Kesepakatan dalam
perbezaan amat penting.
Mengenang As-Syahid Sheikh Ahmad Yassin 1938- 2004
Mengenang As-Syahid Sheikh
Ahmad Yassin 1938- 2004
Syeikh Ahmad Yassin telah
dilahirkan di sebuah kampong bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah
Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia telah dibesarkan di sana sehingga tahun
1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin, dia dan
keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.
Membesar sebagai seorang
pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh
guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan
yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa
kemalangan, di mana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang
menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya. Keadaannya yang
lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam
bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti islam. Pada tahun 1964 beliau telah
melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di
universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke hujungnya apabila beliau
telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana
penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat
lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa
sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh
semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk
memperjuangkan islam dan dakwah islamiyyah.
Kepulangannya ke Gaza
telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan islam sebagai
guru bahasa Arab dan juga khatib di mesjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat
sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan
khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza
pada tahun 1967.
Selain daripada dua tugas
utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin
sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak ? anak
remaja dan para pemuda dengan didikan islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar
tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di
kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan
tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan
yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma
al-Islam.
Usahanya tidak terhenti
setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat islam
di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain
telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai Al-Mujahidun
Al-Filastiniyun pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan Kataib Syuyukh
yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad
Yassin kelumpuhan dirinya tidak mengahalang dirinya dari usaha mendidik dan
membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis
yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.
Pada tahun 1983, ketika
beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah
ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memilki
senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia telah
dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel,
namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO
dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara
selama 11 bulan.
Melihatkan kepada keadaan
Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekan bumi Palestin dan
Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak
terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan
Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan islam yang dikenali sebagai
HAMAS pada tahun 1987. HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru,
iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka
dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari
masjid-masjid dari kalangan orang- orang muda yang dikenali dengan nama Atfal
Hijarah (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan
tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim
Zionis ini dikenali sebagai ?Intifadah?. Kesan dari Intifadah ini amat hebat,
pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan- tindakan drastik sebagai
tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.
Sebagai natijahnya, pada
bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya
ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau
bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenajarakan kerana
kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam
usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah
tentera Israel pada 16 / 10 / 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara
ke atas Syeikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke
atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera
Zionis.
Kesan dari penahanan
tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja.
Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan
penglihatan pada mata kirinya selain daripada masaalah pendengaran akibat
tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau
dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan
kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa
membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pada 13/12/1992 kumpulan
komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik
seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka
menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad
Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak
rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu
masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya.
Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh berserta
dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid
di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan
kota Baitul Maqdis.
Pada 1/10/1997, hasil dari
perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis
Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah
berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal
dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di
Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim
Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan,
Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.
Sejurus pembebasannya
Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi
gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga
semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan
tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel
Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi
Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat PAlestin untuk bangun
berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim
Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam
50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari
tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh
pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang
Bandar-Bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh
pejuang Palestin dan pemimpin mereka.
Hasil dari kegilaan
tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid
dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan
juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab
dan lain-lain lagi. Syeikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat
tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilamana sebuah helikopter
Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Ahmad Yassin,
mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan
kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor
dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.
Namun, pada subuh 22 / 3 /
2004, mereka sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam
perjalanan pulang dari mesjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah.
Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya
mengorbankan diri Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.
Ayuh kita ambil semangat
Syeikh Ahmad Yassin! Janakan dalam diri setiap dari kita!











